Tuesday, December 25, 2012

Rengetan Terakhir Doty

Tanggal 25 Desember, 3:00am. Berakhir sebuah penantian seekor anak kucing jalanan. Walaupun hanya 4 hari kita bersua, aku menyambut kau sebagai ahli keluarga baru dengan penuh bahagia. Aku masih ingat semasa dalam bas dalam perjalanan balik untuk hari cuti, mak menghantar pesanan ringkas :

mak : ada anak kucing baru ni kat ruma.
aku : yeke? tak sabar nak tengok! :D

Pertama kali kita berjumpa kau masih sihat dan kuat merengek! haha.. itu comel. Setiap hari bila masuk lewat malam aku berada diruang tamu sambil membuat assignment membiar pintu stor terbuka sedikit luas biar kau bernafas dan aku bisa mendengar suara renggekkan kau bila kau memerlukan. Setiap kali kau merengek, aku ada untuk memberi kau minuman susu sebagai makanan. Aku faham akan kondisi makhluk sekecil kau masih memerlukan susu dari ibu. Tapi ini sahaja yang mampu kami sediakan untuk kau bisa betahan.

Setiap malam kau merengek kesedihan,
Aku hanya mampu memberi senyuman dan belaian,
Memahami kerinduan dari lirikan,
Memahami kesengsaraan dari rengetan,
Kita berjenaka dibalik garisan sangkaran.

Semalam, kau langsung tidak merengek. Tapi aku langsung tidak perasan kau sudah dihujung perjuangan. Aku bodoh! Membiar kau menahan, "pasti sedang tidur"-  dalam sangkaan.

Satu rengetan yang sangat mendayu..
meoww..
Satu tolehan kiri..

Rengetan kedua makin mendayu..
meowwww..
Tolehan kedua kiri aku berikan.

Rupanya itu rengetan terakhir kau bertungkus lumus lakukan.Tapi aku..aku hanya mengabaikan. Maafkan aku..aku kesal. Aku lalai..

Hari ini, kau hanya membisu dan tidak mampu mengeluarkan suara. Hanya bisa membuat miming seperti video karaoke. Setitis air susu langsung tidak mahu dihirup.

Mak : kenapa ni..mesti dia sakit dah.
Aku : bawaklah dia gi klinik..
Mak : mahal lah..
Aku : hmm..

Pagi ini, sedang aku sibuk melakukan assignment tiba - tiba hati terdetik untuk melihat keadaan kau. Tidak sempat aku menyalakan lampu.. masih dalam malap gelap terlihat..

Sekujur badan kecil yang letih,
Keras baring beralaskan kain,
Kedua mata mencelik separuh,
Sejuk kering ditinggalkan roh.

Terus tersandar melihat kau..
Lemah anggota melihat kau..
Menitis air mata melihat kau..
Menyesal diri melihat kau..

Aku menyesal..tak mampu melihat kau membesar.

Aku rangkapkan sebuah karya istimewa buat kau..
Mendoakan ketenangan kau disana..
Walaupun kita tidak sempat bergambar bersama..
 Tapi kau akan terus dalam imaginasi ini..

Selamat pergi buat seekor anak kucing jalanan bernama Doty..aku akan merindui.

Aku janji.

Thursday, December 20, 2012

Lagu Membisu

   Saban bulan tak meneroka blog aku ni. Ya, maafkan aku blog, aku terlalu sibuk dengan duniawi dalam mencari ilmu yang pasti. Sampai terlupa akan isi hati yang kian memberontak mencari ketenangan. Emosi meliar tak tentu arah, dialog jadi kasar, saraf otak makin parah.

   Aku hilang..seperti kompas dikepung medan magnet dikawasan Bermuda. Makin bodoh otak berfikir makin tak bertamadun hari-hari aku. 

   Mujur datang sebuah ilham dari Youtube. Aku tertarik dengan alunan okestra keseniannya. Mendengar dan terus mendengar.. setiapnya membelai hati, menjinakkan emosi. Seperti berlari mengelak dan menepis segala masalah, dusta dunia, dan kesengsaraan jiwa. 

   Aku terus berlari dalam halusinasi sendiri tanpa menghiraukan masa yang emas. Kesal terus mengekal selagi tidak diselesai. 

   Semakin banyak angin yang aku menentang, semakin banyak kotoran ditinggalkan tanpa melihat belakang lagi. Tidak sekali. Lirikan lesung pipit makin mendalam, aku semakin menjerit, aku bebas! Aku bebas dari bebanan dogma.

Terima kasih..

   Terima kasih lagu-lagu membisu kau mengizinkan aku menyusun keratan lirik kehidupan aku dalam alunan mu. Setiap sudutnya menyambut aku seperti seniman.

Friday, November 23, 2012

Buat Saudaraku

Kau diselaputi salji kelabu,
Hampas sisa bernama debu,
Itu yang tinggal sebagai kubu,
"Ketakutan dalam abu".


Hembusan bayu dimamah hidrogen, 
Kini tinggal bahang ketandusan,
Udara panas sumber oksigen,
"Nafas sesak kehancuran".


Jalan rata merekah binasa,
Hasil nukilan sasterawan senjata,
Tertakung darah dan air mata,
"Lopak pengorbanan nyawa".


Siang terkabus asap bom,
Setiap letupan lambang kemenangan,
Malam benderang cahaya bom,
"Kemeriahan dalam keganasan".


Teriakan anak kecil pilu,
Keluhan ayah kian keheningan,
Tangisan ibu yang mendayu,
"Drama pementasan peperangan".


Ruangan kini hanya timbusan,
Arca seni yahudi ketamakan,
Penuh erti abstrak dungusan,
"Pameran seni kezaliman".


Subhanallah..


Aku bersujud penuh tawadhuk,
Mencium bumi dahi ke hidung,
Telapak menapak kiri dan kanan,
"Ya ALLAH lindungi saudaraku".


Aku hanya menyingkap disebalik gambaran.. 
Aku merasai kesemua keperitan.. 
Aku mendengar rintihan tangisan.. 
Hanya menadah kedua telapak tangan... 
Dan berharap Dia memakbulkan.. 


Amin ya robbal alaminn..

Sunday, November 18, 2012

Dimensi Imaginasi

Terhasil sendiri ilham Ilahi,
Mencipta fikiran yang berevolusi,
Otak kanan menjadi saksi,
Sebuah dunia karya halusinasi.


Kau percaya wujud ruang imaginasi? Takpa..


Pejamkan mata,
Luaskan telinga,
Hirup suasana,
Kembangkan minda.


Sekarang, apa yang kau rasa? "Aku rasa.. "


Itu potensi akal mistik,
Neocortex dan Thalamus bertemu,
Bukan logik tetapi realistik,
Lebih berharga dari ilmu.


"Imagination is more important than knowledge" - Albert Einstein


Meneroka nun ke angkasa,
Menyingkap segala rahsia,
Bisa sejauh cahaya masa,
Berbekalkan aura enam pancaindera.


"I declare myself as a being imagination." - T.K Coleman


Seperti diri manusia mutasi,
Karakter komik menjadi realiti,
Terus hadapi abaikan maki,
Kerana imaginasi membuat aku infiniti.


Aku antara mereka : The power of imagination makes us infinite.


Mungkin aku seorang yang berkeperibadian Skizofrenia, ianya adalah sejenis "gangguan psikotik" tapi bagi aku lagi sedap dipanggil "anugerah". Mungkin juga seorang yang tegar akan seni. 

Impaknya, aku mampu melihat apa jua keadaan terlintas diminda terus terpancar diskrin mata dengan jelas dan segalanya dalam keadaan yang logik. Itu pelik bukan? tapi menarik. 

Kadang kemampuan ini tidak sukar membezakan realiti dan fantasi. Cuma mereka yang mengalami sahaja yang dapat memahami apa yang aku bebelkan dari tadi. 


Terima Kasih :)

Saturday, November 17, 2012

Ayah dan Mak : Nafas Baru

Jam tepat 4:30 pagi, aku masih terjaga dengan roh separa sedar. Kesunyian teramat buat naluri jauh melayang dalam sudut diri. Terlintas memikirkan kedua insan yang berusaha membawa kehidupan untuk aku dengan izinNya. Ya, ayah dan mak. (dalam bilik nyenyak tidur)

Bila diselak balik nostalgia dari mula aku menjadi budak nakal hingga menjadi seorang yang jahat, rasanya mereka sendiri pun tak harap aku dilahirkan hahaa.. Banyak kenangan pahit berjaya aku pahat. Sehingga ayah pernah menafikan kewujudan aku dalam keluarga. Terasa sangat asing dan aku tahu keadaan makin meruncing. "Apa yang kau dah buat ni?!"-kedut merungut.

Tapi..Alhamdulillah Allah maha kuasa. Dia bisa merubah apa yang dikehendaki. Entah kenapa dan bila keinsafan datang bersahabat dengan hati aku. Segalanya berubah dengan tenang seperti angin petang. Walau ayah terlalu kecewa dengan perlakuan aku, tapi dia tetap mendoakan aku. "Ayah, ini hasil doa tak putus-putus ayah!"

Kini aku memahami pengorbanan mereka, sakit mereka, susah mereka, manis mereka, tawa mereka dan harapan mereka. Sehingga aku terlalu sensitif dan menjaga hati mereka, takkan tertitis walau senitis. Aku manusia biasa juga belajar dari kesilapan, kini aku berdiri dengan pengalaman.

Akhirnya aku mampu bersandar lega walaupun hasilnya tak seberapa, yang pentingnya sedikit sebanyak aku dapat tampal balik luka mereka. Ayah dan mak selalu ingatkan mereka tak mintak apa-apa cuma ingin menumpang gembira bila aku berjaya.

"Aku pernah membuat mereka menitiskan air mata kerana kejahilan, aku juga membuat mereka menangis kerana kejayaan."

Tiada yang lebih berharga didunia selain mereka, ibu bapa kita. Buat mereka yang masih sesat dalam kejahilan jangan putus asa, percayalah masih ada peluang kedua untuk kita :)

Tuesday, November 13, 2012

Mendung Kelabu

Mata mendakap cahaya,
Angin membuat terjaga,
Badan mula meronta,
Suasana pukul lima.

Ahh.. hujan lagi.

Bukan bongkak diri,
Malah aku mensyukuri,
Maaf terlau emosi,
Cuma cerah dirindui.

Mana langit..awan cerah?

Badan malas lesu,
Tulang keramat sebu,
Cairan otak membeku,
Ego mengawal aku.

Hishh.. dah la sejuk.

Teringat gebuan biru,
Angin menghembus lalu,
Membawa pergi silamku,
Cuma serpihan rindu.

Awan.. awan.. i miss u.

Sunday, November 11, 2012

Kehasilannya

    Setelah 3 hari menghabiskan waktu tidur untuk melukis, inilah yang termampu aku hasilkan. Mental dibuatnya nak bermain dengan cahaya, lipatan dan kaburan. Mesej dalam ilustrasi aku ni masih kabur dan jauh lebih hebat juru kamera yang mengambilnya. Tapi aku berpuas hati walaupun semasa proses aku tidak terlalu fokus dan teliti. Kira buat main-mainlah. Banyak yang aku tinggalkan (softskill) demi pelajaran aku. Dan inilah masanya aku memuaskan ketagihan aku melukis bila cuti semester.




    Ramai yang memilih untuk bekerja tetapi aku memilih penuhi masa dengan mengenal kembali bakat sendiri. Bagi aku, duit tidak setanding dengan nilai bakat diri kita. Aku tahu hidup memerlukan duit, tapi duit bukan alasan kita tidak bisa hidup kerana bakat adalah anugerah dari Allah. Aku terlalu bersyukur dengan kewujudan begini. Aku cuma berharap jika aku terpaksa berpisah dengan anugerah Kau, biarlah saat malaikatMu menjemput aku kembali kepadaMu.  Dan aku rela selepas itu. "Terima kasih" untuk yang memuji, "aku usaha lagi" untuk kritikan membina. Arios :)

Saturday, November 10, 2012

Mendongak Kelangit Ungu


Malam itu aku meluru buntu,
Sambil melangkah hambar,
Fikiran melayang tiada tuju,
Wakaf sebentar sambil bersandar.

Mendongak kelangit ungu,
Aku tarik oksigen sekuat dalam,
Ku sangka hanya cahaya haru biru,
Tapi masih ada peneman malam.

Cahayanya adalah harapan,
Berkilau gah jauh disana,
Penyuntik motivasi diri,
Inspirasi dari Maha Suci.

Setiap aku berkedip,
Aku kunci cahaya kau rapat,
Supaya terus kekal,
Menyuluh bila buta dengan dunia.

Hampir Tersungkur

Tepat jam 8:59 pagi jantung deras dan inilah saatnya keputusan semester aku. Penuh harapan seperti dalam doa-doa lepas. Tapi apa yang realiti tidak seperti dihajati. Rasa seperti meteor jatuh ke muka. Aku terlalu kecewa dengan realitinya. Walau prestasi makin meningkat tetap aku tak puas. Itulah nafsu. Saat aku bersujud baru aku sedar bahawa setiap yang Allah takdirkan adalah yang terbaik untuk kita. Aku tidak patut rasa tersungkur tapi perlu rasa bersyukur. Alhamdulilllah.

Thursday, November 8, 2012

Si Dara dan Zirafah

    Diilhamkan dari jemari yang gatal menggeledah si Google. Malam itu aku sendiri bersandarkan bantal sofa yang empuk sambil dibahu kucing siam kesayangan, Pikachu. Akhirnya terjumpa fotografi ini. Seperti jodoh aku dengan gambar ini. Ya, memang jodoh kami untuk bertemu dan bergandingan mencipta sebuah karya seni, sebuah ilustrasi yang akan terhasil dari tangan kiri ini.


    Kenapa aku memilih fotografi ini? Mungkin ada sesuatu yang sangat unik tersirat dalam setiap sudut gambar ini. Aku sendiri tak bisa ungkapkan dengan kata-kata. Tapi tuhan kurniakan satu perasaan yang mendalam tentang seni yang buat aku tahu fotografi ini ada nilai tersendiri. Bebel panjang pun bukan siapa faham haha..Mungkin dalam masa 4 hari ilustrasi ini akan siap sempurnanya. Insyallah :)

Tuesday, November 6, 2012

Assalamualaikum

Aku adalah baru disini,
Ajarkan aku bijaksana,
Aku merangkak seperti bayi,
Ajarkan aku erti dewasa.